Saturday, November 14, 2009

Akhir Ini Sahabat


Petang itu ku lihat dia tersenyum simpul,mesra seperti selalu disisi pendampingnya yang baru.Aku rindukan senyuman itu,aku rindukan kemesraan itu,ingin saja aku muncul diri di hadapannya,tapi setelah sedar kini bukan yang dulu lagi,ku batalkan segala niat itu.

Argh...Hatiku meronta,merayu agar datang kepadanya,tapi kakiku tak mampu,kerana aku dan dia bukan yang dulu.

Aku memanggu diri di hadapan stesen bas,terdetik rasa terharu dan pilu di hati kala melihat sekumpulan para musliamah melintas jalan menuju stesen bas hadapan.

"Hendak ke bandar agaknya."monologku sendirian.

Teringat aku sewaktu bersama teman-teman seperjuangan dulu.Betapa indahnya ketika itu,sewaktu bersama melakar kenangan dan memori indah yang tetap terpahat dan bersemadi padu dalam sanubari ini. Usai ta'lim masturat yang baru lepas ku hadiri di daerah sandakan ini,aku duduk sendirian di stesen bas ini.Pelbagai ragam yang dapat di lihat di suasana ini.Sementara menunggu bas, aku mengeluarkan examaniton pad bersaiz A4 dan pen yang sentiasa menjadi teman ku dalam perjalanan,dan seperti selalu ku mengambil masa yang tersisa ini untukku coretkan rasa hati agar terus menjadi kenangan abadi untukku dan para teman sekalian.



Salamun'alaiQ,
Temanku sekelian,
Sekian lama telah ku nanti saat ini,
Sabar dan redha menjadi pendampingku setiap kali hadir emosi itu,

Teman,
ku berdoa agar kau fahami segala yang tersurat di hati ini,
Namun sering kali ku terbenam
dalam kekalutan dan keresahan
kerana sesungguhnya kau akan megerti nanti,

Teman,
Harapanku agar kau bahagia selalu,
doa dan tulus hati ini sentiasa menginginkan semangat jihadmu tetap abadi,

Temanku,
maafkan aku kerana tidak ada upaya untuk terus disisimu,
Dalam mencari bening-bening taQwa,
Aku sendiri terpenjara dalam dunia ciptaan sendiri,

Temanku,
Ketahuilah,aku masih setia disini,
Menanti ...
Dan menunggu saat dan waktu
untuk bersama kita tarbiyah dan fahami
erti sebuah perjuangan yang menuju cinta haQiQi dan Abadi,

Pintaku,
Teruskan perjuangan,
Jangan sesakali kau berhenti,
IstiQamahlah dan tegarlah
menghadapi segala cabaran dalam kehidupan ini.

Akhirnya,
Saat yang ku pasti nanti tiba jua,
Walaupun kini tak seindah dulu,
tapi ku bersyukur,
kerana penghujungnya,impian dan mimpiku
menjadi kenyataan dan ketahuilah,
keyakinanku tak pernah pudar..

Salam ukhwahfillah buatmu temanku,

Gerakkan langkahmu bersama,
Doa dan harapan tinggi agar terus berada di atas arena perjuangan suci ini.

"jadilah bunga yang terpelihara,kerana mahligai syurga itulah tempatnya..."


Menitis air mataku mengenang segala yang pernah ku lalui.Aku merinduimu sahabatku.Harapan dan doaku agar dia hadir lagi bersama melakar semangat yang baru mencapai impian dan matlamat kehidupan seorang insan.Aku melipat kemas coretan itu,mendamba seseorang yang boleh aku kongsikan luahan ini.Hati terus memohon agar dia hadir lagi.Inginku buang jauh kenangan pahit itu jauh dari lubuk sanubari, walaupun belum pasti,tapi tidak ku simpan rasa ini lagi agar dapatku layari kehidupan ini dengan misi dan mimpi impian suci.Moga bertemu Redha Ilahi.

"AssalamualaiQaum wbt" sapa lembut seseorang di hadapanku.
"Waalakumsalam wbt..." jawabku perlahan,lamaku merenungnya,seakan tak percaya,Hurul Iman kini di hadapanku..

Sekian lama ku menanti akhirnya tiba jua saat ini,aku bangun dan dia lantas menghampiri,menyeka air mataku yang tumpah,mencium dan memeluku seperti dahulu. Bas tiba dan kami pulang bersama,aku menghadiahkannya coretan yang baru siap aku tuliskan tadi.

"Dulu,kini dan selamanya".
Bicaranya disulami senyuman penuh makna menggenggam erat jemariku di saat aku memberinya coretan itu.

"Walau tak seindah dahulu,biarlah kali ini lakaran yang lebih bererti terlukis di salam coretan hidup ini,kerana kali ini tidak seperti yang dulu lagi",.

Itulah rutinku yang selalu dahulu dan masih kekal hingga kini yang masih diingatinya.
"Alhamdulilah,Syukran Ya Allah....moga ukhwah ini kekal selamanya...". monolog hatiku berharapan...

Kasihnya Ibu..


Sekali masa di zaman Saidina Umar jadi khalifah, dia terlihat seorang pemuda yang mendokong seorang perempuan tua dibelakangnya ke sana sini.

Lalu Umar bertanya kepada kepada pemuda itu; "Siapa perempuan tua ini dan apa hal keadaannya?"

Pemuda itu menjawab; "Dia adalah ibuku. Dia sudah tua dan uzur serta nyanyuk pula. Aku terpaksa menbawanya ke mana-mana kerana tiada siapa akan menjaganya jika aku tiada. Oleh kerana dia telah nyanyuk, dia akan mengutip sampah dan tanah dan memakannya."

Kata Umar; "Sungguh mulia akhlakmu dan sangat baik perbuatanmu."

Mendengar kata-kata Umar, lantas pemuda itu menangis.

Dengan kehairanan melihat tangisan pemuda itu, Umar bertanya; "Kenapa kamu mengangis?"

Pemuda itu menjawab; "Dulu semasa aku kecil, aku dipelihara dengan penuh kasih sayang oleh ibuku ini. Keinginan hati ibu ku adalah supaya aku terus hidup dan membesar dengan baik dan sihat. Jika aku sakit, dengan penuh kerisauan dan usaha, ibu akan menjaga aku dan memberi aku ubat. Dengan harapan aku akan sihat dan dapat meneruskan kehidupan."

"Tapi aku..." Kata pemuda itu dan tangisannya bertambah.

"Walaupun aku berkhidmat kepada ibuku sebegini, pernah juga terlintas di dalam fikiran dan hatiku, bilakah ibu akan mati agar aku terlepas dari kesusahan menjaga dan mendukungnya."

Mendengar itu, Umar turut menangis.



*************************************************

Ohh.. macam mana kita dengan mak kita?
Macam mana pulak mak dengan kita?

Betul kata orang, sorang ibu mampu jaga sepuluh anak. Tapi sepuluh anak belum tentu dapat jaga sorang ibu. Nabi pernah doa; "Celakalah dia yang mendapati kedua orang tua nya atau salah seorang daripada mereka masih hidup, tetapi tak dapat menjadi sebab untuk dia dapat masuk kedalam syurga." Doa Nabi ini diaminkan oleh malaikat Jibril. (hadis sahih riwayat Hakim)

Jadi jenguk-jenguk lah selalu mak bapak kita. Khidmatlah kat mereka sampai mereka atau kita mati. Dan kalau mereka dah mati, doa dan niatkan sedekah setiap amal kita untuk mereka. Jadilah anak yang soleh kalau nak anak-anak kita soleh.



**************************************************

Di zaman Nabi Musa, baginda terlihat seorang pemuda yang berkhidmat dengan sepenuh hati kepada dua ekor babi. Babi-babi tu diberinya makan, dimandikan, diberi pakaian, dibawa tidur didalam bilik dan sebagainya.

Bila ditanya, pemuda itu menerangkan; "Kedua-dua ekor babi ini adalah kedua orang tuaku. Oleh kerana sesuatu kesalahan, rupa mereka telah ditukar oleh Allah menjadi babi. Walaupun begitu mereka berdua tetap ibu dan bapaku."

Pemimpin Di Dunia, Pemimpin Di Akhirat


Firman ALLAH yang bermaksud:
"Dan (wahai Tuhan) jadikanlah kami imam (pemimpin) kepada orang-orang yang bertakwa."
Surah Al-Furqan (25:74)

Apa yang berlaku di Perak telah mengajar kita semua umat Islam, bahawa pemilihan pemimpin perlulah kepada orang yang bertakwa. Dalam hal memilih pemimpin, Islam menetapkan garis panduannya dengan jelas. Oleh kerana Al-Quran itu adalah panduan dan peraturan, maka pemimpin yang patuh kepada kehendak Al-Quran yang memimpin ke arah ketaqwaan. Orang-orang beriman tidak wajar memilih pemimpin semata-mata kerana mereka itu ada pangkat, kekayaan dan juga kekuasaan. Dengan harta, pangkat dan kekuasaan belum pasti pemimpin itu layak dituruti kerana belum pasti mereka dapat membawa pengikutnya kepada keredhaan Allah. Orang-orang yang menjadi pemimpin biarlah orang yang tahu halal dan haram, dosa dan pahala. Tegasnya pemimpin itu mestilah mereka yang celik Al-Quran supaya bukan sahaja pemimpin itu bertaqwa, tetapi juga menjadi pemimpin kepada orang-orang yang bertaqwa.

Selain itu janganlah pula orang-orang yang beriman menjadi pengikut kepada pemimpin yang tidak menghiraukan halal dan haram, sesungguhnya sikap pemimpin yang demikian itu adalah melampaui batas-batas Allah (taghut). Janganlah di akhirat kelak orang-orang yang tergolong celik agama tetapi berada dalam barisan yang menuju kepada neraka, iaitu di bawah pimpinan manusia yang bertaraf taghut. Sesungguhnya akan diseru manusia di akhirat kelak supaya mengikut di belakang pemimpin yang mereka taati. Justeru itu janganlah sampai tersalah memilih pemimpin, kerana pemimpin itu mempunyai tanggungjawab bukan sahaja di dunia tetapi juga menjadi pemimpin di akhirat. Adakah pemimpin negara masakini menepati ciri-ciri pemimpin di dunia dan pemimpin di akhirat. Tepuk dada tanyalah iman..

Thursday, November 5, 2009

Muhasabah Diri


Muhasabah adalah perilaku bagi mengitung dan memperelokkan diri yang terbentuk di dalam jiwa seseorang manusia itu menurut kaca mata agama. Ia juga boleh dimaksudkan sebagai mendidik diri agar sentiasa mencela segala kejahatan yang pernah dilakukan yang boleh menjadi pengalang untuk mandapat keredhaan dari Allah Taala.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari selepas kematian sementara orang yang lemah ialah orang yang menikut hawa nafsunya serta beragan-angan terhadap Allah dengan angan-angan (yang banyak). (Riwayat al-Tarmizi).

Sesiapa yang bermuhasabah dirinya maka dia tidak akan meninggalkan ruang dan masa untuk dirinya melakukan perkara-perkara yang batil. Menyibukkan diri dengan ketaatan akan menghapuskan masa untuk membuat kejahatan. Dia akan mencela jiwanya di atas setiap kesalahan dan kekurangan yang yang dia lakukannya terhadap Allah Taala kerana takutnya diri ini kepada kekuasaanNya. Jika inilah keadaannya maka mana mungkin boleh didapati jalan dan ruang untuk membuat kesalahan dan kebatilan?

Berkata as-Sayyid Ahmad ar-Rifaie:

Daripada takut akan timbulnya muhasabah. Daripada muhasabah timbulnya muraqabah. Daripada muraqabah hati akan sentiasa sibuk bersama Allah Taala. (Kitab: al-Burhan al-Muayyad).




Secara tegasnya muhasabah pasti akan menghasilkan perasaan bertanggungjawab terhadap Allah Taala dan rasulNya serta makhluk-makhlukNya. Melalui muhasabah juga manusia merasa diri mereka tidak diciptakan oleh Allah Taala dengan sia-sia. Setiap manusia pasti akan kembali semula kepada Allah Taala apabila telah sampai waktunya.

Firman Allah Taala bermaksud:

Setiap yang berjiwa (yang bernyawa) akan merasai mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga ia telah beruntung. Kehidupan dunai itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. (Surah ali-Imran: Ayat 185).

Di dalam kesibukkan kita mengejar kekayaan dunia ini maka janganlah lupa juga untuk kita menyibukkan diri dengan mengingati Allah Taala. Perkara seperti inilah yang selalu dituntut oleh agama Islam.

Firman Allah Taala bermaksud:

Maka segeralah kembali kepada Allah maka sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata daripada Allah untukmu. (Surah adz-Dzaariyaat: Ayat 50).

Firman Allah Taala bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu bersama orang yang benar. (Surah at-Taubah: Ayat 119).

Adapun golongan sufi sentiasa menyibukkan diri dengan penghambaan dan pengabdian diri kepada Allah Taala. Mereka beriman di dalam perjalanan musafir ini menuju Allah Taala dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas. Hati mereka sentiasa mengingati bahawa mereka akan kembali kepada Allah Taala pada setiap masa.

Firman Allah Taala bermaksud:

Di tempat yang disenangi (penuh kebahagiaan) di sisi tuhan (Allah Taala) Maha Kuasa. (surah al-Qamar: Ayat 55).

Berkata Syeikh Ahmad Zarruq:

Lalai dari bermuhasabah diri menyebabkan apa yang dilakukan menjadi silap. Kurang berbincang dengannya boleh membawa kepada adanya sifat redha nafsu atau rasa berpuas hati terhadapnya. Memerangi nafsu boleh menjauhkan daripada melekat pada diri dan tidak bersikap tegas terhadapnya menyebabkan dia menjadi pahlawan. Oleh itu lazimilah diri dengan sentiasa bermuhasabah dan berbincang serta beramallah dengan apa yang sahih tanpa bertolak-ansur terhadap perkara yang telah nyata salah. Ketika beramal jangan mencari sesuatu yang tidak jelas. (Kitab: Qawaid al-Tasawuf).

Demikianlah pentingnya muhasabah di dalam diri setiap individu. Tanpa muhasabah yang ikhlas maka seseorang itu akan sentiasa berasa diri tidak pernah melakukan kesalahan. Bermuhasabahlah diri dengan hati yang terbuka agar kita boleh memperbaiki kebatilan dan kelamahan diri sebelum diri kita menemui ajal.

Berkata Saidina Umar al-Khattab:

Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab. Timbanglah amalan kamu sebelum kamu ditimbang. (Kitab: Tahzib Madarij al-Salikin).

Bangunan Masjid Al-Aqsa yang Sebenarnya


Al-Masjid al-Aqsa adalah merupakan masjid ketiga tersuci di dalam agama Islam. Ianya juga merupakan tempat di mana Allah memperjalankan nabi Muhammad SAW pada waktu malam semasa peristiwa Isra’ dari al-Masjid al-Haram di Makkah ke al-Masjid al-Aqsa di al-Quds. Lokasinya terletak di kawasan yang diberkati dan suci. Keberkatan kawasan tersebut bukan sahaja dapat dinikmati daripada aspek spiritualnya sahaja, tetapi daripada aspek material pun dapat dirasai, seperti kesuburan tanah yang menghasilkan produk perladangan terbaik, cuaca yang nyaman dan seumpamanya. Ramai nabi menjadikan bumi ini sebagai tempat tinggal di dalam misi dakwah mereka. Masjid ini juga pernah menjadi qiblat pertama bagi umat Islam.

Suatu masa dahulu, umat Islam bebas untuk keluar masuk di dalam al-Aqsa. Ramai yang memulakan pergerakan menunaikan haji dari masjid ini. Apatah lagi terdapat galakan langsung daripada nabi Muhammad untuk menziarahinya. Bersabda nabi Muhammad SAW di dalam sepotong hadith:

وعن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: لا تشد الرحال إلا إلى ثلاثة مساجد: المسجد الحرام، والمسجد الأقصى، ومسجدي متفق عليه، واللفظ للبخاري

Daripada Abi Sa’id al-Khudri R.A. Rasulullah SAW dilaporkan berkata: Janganlah bersungguh-sungguh/bersusah-payah pergi berjalan melainkan ke tiga masjid, al-Masjid al-Haram (Makkah), al-Masjid al-Aqsa (Al-Quds) dan Masjidku (Masjid Nabi di Madinah) - Muttafaqun alaihi dengan lafaz daripada Bukhari.

Sehinggalah penjajahan Zionist ke atas Palestin, al-Masjid al-Aqsa kini sunyi daripada pengunjung Muslim bukan Arab. Sekatan serta fatwa pengharaman menziarahinya oleh Mufti Palestin yang turut disokong ramai ulamak kerana perlu membayar wang yang banyak kepada penjajah Zionist, menyebabkan hanya sedikit daripada kita yang mengenali bangunan al-Aqsa yang sebenarnya.

Di dalam bersemangat mempertahankan al-Aqsa, ada antara umat Islam yang cuba untuk memperkenalkan bangunan al-Aqsa.

Antara maklumat yang kerap disebarkan melalui rantaian email dan tapak sesawang seperti ini, ialah menyatakan yang Qubbah al-Sakhrah (Dome of the Rock) adalah bukan al-Aqsa. Mereka mendakwa yang ianya adalah propaganda Zionist untuk mengalihkan fokus umat Islam daripada mempertahankan al-Masjid al-Aqsa yang sebenarnya. Ramai daripada kita yang percaya dengan maklumat ini.

Dalam artikel ini, saya akan cuba berkongsi maklumat yang sebenar mengenai bangunan al-Masjid al-Aqsa seperti yang dikenali penduduk Palestin. Saya perlu memberikan kredit kepada pensyarah Universiti al-Najah, Dr Haithem F. al-Ratrout yang telah melakukan kajian perkembangan senibina al-Aqsa di dalam kajian PhD semasa menuntut di Al-Maktoum Institute.

Saya telah mendapat keizinan beliau untuk menyebarkan maklumat kajiannya, kerana menurut beliau ini merupakan tanggungjawab Muslim bagi memperkenalkan bangunan al-Aqsa yang sebenarnya. Anda boleh membeli buku beliau daripada laman ini untuk mendapatkan penjelasan yang lebih terperinci.


PEMBINA AL-AQSA YANG SEBENARNYA

Untuk mengetahui al-Aqsa, kita terlebih dahulu perlu mengetahui siapakah pembinanya. Menurut ulamak, tidak ada satu nas yang amat sahih menyatakan secara jelas siapakah pembina al-Aqsa. Cuma terdapat sepotong hadith sahih menceritakan secara umum pembinaan al-Aqsa, seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim:

حديث سليمان بن مهران الأعمش، عن إبراهيم بن يزيد التيمي، عن أبيه، عن أبي ذر قال: قلت: يا رسول الله أي مسجد وضع أول؟ قال: المسجد الحرام. قلت: ثم أي؟ قال: المسجد الأقصى. قلت: كم بينهما؟ قال: أربعون سنة

Hadith Sulaiman bin Mahran al-A’mash, daripada Ibrahim bin Yazid al-Tamimi, daripada bapanya Abu Zarr beliau berkata, aku bertanya kepada Rasulullah “Wahai Rasulullah, masjid yang manakah dibina terlebih dahulu (dalam sejarah)?” Nabi menjawab, “al-Masjid al-Haram.” Aku bertanya lagi, “Selepas itu?” Jawab nabi, “al-Masjid al-Aqsa.” Aku bertanya lagi, “Berapa jarak pembinaan antara keduanya?” Nabi menjawab, “40 tahun.”….

Berdasarkan hadith di atas, oleh kerana jarak pembinaan antara al-Masjid al-Haram dan al-Masjid al-Aqsa adalah dekat, iaitu 40 tahun, ditambah lagi dengan umur umat terdahulu yang amat panjang, maka ramai ulamak berpandangan pembina kedua-dua masjid ini adalah orang yang sama. Justeru, dalam usaha mencari siapakah pembina al-Aqsa, adalah perlu untuk kita mencari siapakah pembina al-Masjid al-Haram di Makkah.

Sebahagian kita berpandangan yang pembina al-Masjid al-Haram ialah Nabi Ibrahim. Ini berdasarkan kepada ayat al-Quran di dalam surah al-Baqarah ayat 127:

وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَٰهِيمُ ٱلْقَوَاعِدَ مِنَ ٱلْبَيْتِ وَإِسْمَٰعِيلُ

Dan ketika Nabi Ibrahim dan Ismail mengangkat kembali tapak asas tapak rumah ibadah itu (Al-Masjid al-Haram).

Jumhur ulamak, walau bagaimanapun menyatakan yang ayat di atas hanyalah menunjukkan yang nabi Ibrahim membina kembali tapak al-Masjid al-Haram yang telah dibina oleh nabi sebelumnya. Dengan erti kata lain, nabi Ibrahim bukanlah orang pertama yang membina al-Haram. Sekiranya nabi Ibrahim bukan orang pertama membina al-Haram, maka baginda juga bukanlah orang pertama membina al-Aqsa.

Ketika mentafsirkan ayat di atas, Imam al-Tabari telah merekodkan beberapa riwayat mengenai pembina al-Masjid al-Haram yang sebenarnya. Antaranya ialah seperti yang dilaporkan oleh Ato’ bin Abi Rabah dan Abdullah bin Amru yang menyatakan bahawa pembina Ka’bah yang pertama sebenarnya ialah nabi Adam.

Apabila nabi Adam diturunkan dari langit, baginda telah membina rumah ibadah pertama di muka bumi dengan arahan Allah SWT. Baginda tawaf di keliling Ka’bah tersebut, berdasarkan sempadannya yang telah ditetapkan. Ka’bah itulah merupakan asal bagi al-Masjid al-Haram. Kemudian berdasarkan hadith Abu Dzar tadi, baginda telah membina al-Aqsa 40 tahun selepasnya. Adapun nabi Ibrahim, baginda hanyalah membangunkan kembali asas binaan tersebut yang telah roboh berikutan banjir besar serta faktor cuaca yang lain.

Justeru, ramai ulamak yang menyatakan nabi Adam adalah pembina al-Aqsa kerana baginda juga membina Ka’bah.


KONSEP BINAAN MASJID DI DALAM ISLAM

Untuk mengetahui bangunan al-Aqsa, kita juga perlu untuk mengetahui konsep binaan masjid di dalam fiqh Islam. Secara ringkasnya, yang dinamakan masjid itu perlulah mempunyai empat elemen:

1. Lokasi.

2. Sempadan.

3. Qiblah.

4. Aktiviti, termasuklah ritual ibadah dan juga segala aspek kehidupan yang membawa kesejahteraan akhirat.

Gabungan lokasi dan sempadan, menurut ulamak, tidak membawa maksud yang masjid itu perlu berada di dalam satu bangunan. Masjid di zaman nabi Muhammad pun tidak mempunyai bangunan. Yang paling penting ialah, pembina masjid tersebut perlu menentukan lokasi dan sempadannya. Adalah menjadi satu kesilapan sekiranya kita memahami yang masjid itu perlu dibuat di dalam bangunan.


LOKASI AL-AQSA

Dalam peta politik moden, al-Aqsa terletak di sebuah kawasan yang dikenali sebagai Pekan Lama atau Old City of Jerusalem, Tebing Barat (West Bank). Semasa zaman nabi, banyak istilah yang digunakan untuk merujuk kawasan ini, seperti Eiliya’, Sham, al-Ard al-Muqaddasah, al-Ard al-Mubarakah dan al-Quds. Old City of Jerusalem dikelilingi oleh pagar. Di dalamnya terletak kawasan petempatan lama. Ianya agak padat. Dahulu Muslim Arab merupakan majoriti, akan tetapi selepas penjajahan, orang Yahudi semakin ramai menguasai kawasan petempatan di dalam Old City of Jerusalem. Turut berada di dalam pagar Old City berkenaan, ialah Holy of Sepulchre, gereja utama agama Kristian. Al-Masjid al-Aqsa terletak di tenggara pagar Old City.

PLAN KA’BAH DI AL-MASJID AL-HARAM

Selain itu, kita juga perlu mengetahui bagaimanakah plan asal Ka’bah yang telah dibina oleh nabi Adam. Ini adalah kerana kita telah faham bahawa pembina kedua-dua bangunan ini kemungkinan besar adalah orang yang sama berdasarkan hadith Abu Dzar tadi. Ramai yang memahami Ka’bah sebagai bangunan berbentuk kiub yang dilitupi oleh kain kiswah hitam. Fakta ini kurang tepat, kerana sebenarnya kawasan Hijir Ismail adalah juga sebahagian Ka’bah berdasar pandangan ramai ulamak. Jika diteliti laporan daripada al-Azraqi (meninggal 222 H), beliau telah melakarkan plan Ka’bah seperti yang telah direnovasi oleh nabi Ibrahim seperti imej berikut:


Secara ringkas, al-Masjid al-Aqsa yang sebenar ialah meliputi semua monumen bangunan dan tanah lapang di sekitar pagar empat segi di atas. Hujjahnya ialah seperti berikut:

1. Nabi Muhammad diisra’ ke al-Aqsa. Kemudian dimikrajkan dari al-Aqsa juga. Semua bersetuju yang nabi dinaikkan ke langit daripada lokasi Dome of the Rock sekarang yang letaknya di bukit paling tinggi di dalam pagar di atas. Justeru tidaklah tepat sekiranya Dome of the Rock dikatakan bukan sebagai al-Aqsa.

2. Masjid tidak semestinya berada di dalam satu bangunan. Ianya boleh jadi di atas tanah lapang, atau dalam bangunan, atau gabungan tanah lapang dan bangunan, selagi mana ditentukan lokasi dan sempadannya.

3. Al-Aqsa mempunyai hubungan dan persamaan dengan Ka’bah. Tidak mustahil, kerana pembinanya adalah orang yang sama. Bahkan jika dibesarkan plan Ka’bah, kita akan dapati yang plannya adalah sama dengan pagar sempadan al-Aqsa. Dengan erti kata lain, sudut bukaan setiap hujung empat seginya adalah sama. Penjelasan lanjut boleh diperolehi daripada buku Dr Haithem yang sebenarnya merupakan thesis PhD beliau.



Memang benar Saidina Umar seakan marah dan tidak bersetuju dengan cadangan Ka’ab al-Ahbar mengenai lokasi di mana perlunya dibina bangunan masjid di dalam al-Aqsa. Ka’ab mencadangkan di lokasi Dome of the Rock sekarang. Umar tidak bersetuju kerana lokasi itu adalah lokasi paling suci dalam agama Yahudi, dan keduanya bangunan utama yang menempatkan Imam sembahyang, perlulah berada di tempat paling hampir dengan qiblat/Ka’bah.

Maka dibinalah bangunan masjid kecil di selatan sempadan pagar al-Aqsa yang betul-betul dibina oleh nabi Adam menghadap ke arah Ka’bah. Masjid asal yang dicadangkan saidina Umar itu dikenali penduduk tempatan sebagai Jami’ Qibli atau Jami’ al-Aqsa. Adapun sekiranya menyebut al-Masjid al-Aqsa, maka ianya merujuk kepada semua yang berada di dalam pagar sempadan al-Aqsa tadi, termasuklah Jami’ Qibli, Masjid Buraq, pelbagai masjid kecil di dalamnya, beberapa bilik perpustakaan, pejabat dan kelas pengajian, Dome of the Rock, Dome of Ascension, Dome of Chain, tanah lapang, dan lain-lain.


KESIMPULAN

1. Al-Aqsa ialah kawasan yang meliputi semua monumen, bangunan dan tanah lapang di dalam pagar al-Aqsa seperti gambar di atas. Ini termasuklah Dome of the Rock, yang merupakan sebahagian daripada al-Masjid al-Aqsa.

2. Umat Islam perlu menghentikan penyebaran maklumat salah yang kononnya Dome of the Rock bukan sebahagian daripada al-Aqsa. Sasaran Zionis sekarang ialah membina Haikal Sulaiman di atas tapak Dome of the Rock, yang dianggap sebagai The Holiest of Holy oleh orang Yahudi. Sekiranya kita membiarkan fokus kita daripada mempertahankan Dome of the Rock, maka mudahlah orang Yahudi merampas al-Aqsa.

3. Saya amat mencadangkan rakan-rakan pembaca untuk membeli buku Dr Haithem, serta membaca kajian lanjut mengenai pembinaan Ka’bah, pembinaan Jami’ Qibli, Dome of the Rock dan kubah-kubah lain, sejarah pemerintah yang menguasai dan memakmurkan al-Aqsa dan lain-lain.


*abidfana merupakan 'nickname' bagi Ustaz Irfan yang merupakan mentor iLuvislam.com di United Kingdom dan bekas moderator agama iLuvislam.com. Beliau merupakan pakar dalam kajian Palestin dan kini menetap di Abeerdeen, United Kingdom. Ustaz Irfan aktif menulis di www.abidfana.com. Artikel asal boleh didapati di sini.

peperiksaan.....ooo peperiksaan..

“Macam mana ni,peperiksaan dah dekat sangat. Ana tak habis ulangkaji lagi.. Habislah ana.. mesti tak dapat jawab. Gagallah ana nanti..”

“Peperiksaan?... ala.. Janganlah cakap tentang hal ni.. saya takut..”

“Mestilah belum bersedia.. Aku rasa kalau aku cuba sedaya upaya pun, aku tahu, tak akan sempat aku habiskan ulangkaji semua subjek tu…”

Inilah luahan-luahan yang sering dan mungkin selalu kita dengar apabila menjelangnya peperiksaan. Apabila menjelang peperiksaan, hati semakin berdebar-debar.

Tahap kerisaun mula meningkat. Pemikiran pun mulalah memikirkan pelbagai perkara-perkara negatif yang mungkin akan terjadi. Pemikiran itu kemudiannya pula ditafsirkan oleh otak dan diubah kepada gambaran-gambaran.

Ana, yang juga merupakan salah seorang mahasisiwi amat memahami keadaan yang digambarkan di atas dan turut jua melaluinya.

Peperiksaan adalah lumrah kehidupan. Kita sememangnya tidak dapat melarikan dirinya. Walau apapun jua, jika kita masih lagi memegang “title” sebagai seorang pelajar atau mahasiswa,mahasisiwi, peperiksaan itu memang tidak dapat dielakkan.

Ya,benar, kita tidak dapat lari darinya, tetapi, tidak mustahil kita tidak dapat mencuba untuk menghadapinya dengan sebaik-baik kemampuan kita. Peperiksaan bukanlah sebuah beban.

Peperiksaan merupakan kayu ukur untuk mengukur sejauh mana tahap pemahaman kita akan sesuatu perkara yang sudah dipelajari.

“Demi masa,sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran”
( surah Al-Asr: 1-3)

Masa itu ibarat pedang, sekiranya kita tidak mencatasnya, ia pula akan memotong kita. Masa ibarat senjata tajam yang bernilai apabila dimanfaatkan dengan sebaiknya, tetapi sebaliknya akan berlaku sekiranya masa dibazirkan begitu sahaja.

Menurut teori as-Syahid Imam Hasan Al-Banna, masa merupakan kehidupan. Sesiapa yang mengisikan masa dengan hal-hal yang tidak berfaedah, maka dia telah membuang kehidupannya. Hidupnya seperti tiada erti dan nilai.

Masa kian suntuk. Peperiksaan semakin hampir. Bagaimana kita hendak menghadapinya? Salah satu cara yang boleh dilakukan untuk kita mencuba melakukan yang terbaik dalam peperiksaan adalah dengan menggunakan masa yang singkat itu untuk melakukan ulang kaji pantas.

Berikut adalah langkah-langkahnya:

1. Semak bahagian yang sukar. Fahami dan kuasai topik tersebut. Buat latihan yang berkaitan dengan subjek tersebut dan semak jawapannya. Lihat dan fahami rangka jawapan yang diberi

2. Bagi topik yang mudah, bukanlah perlulah diabaikan. Tetapi, buat banyak latihan dengan pantas. Ini dapat menambahkan keyakinan pada hari peperiksaan itu nanti

3. Ulang kaji kembali nota-nota ringkas yang dibuat sebelum ini. Jangan baca nota yang panjang lebar. Ini dapat mengelakkan perasaan panik apabila melihat isi kandungan yang banyak yang perlu dibaca

4. Jangan terlalu bimbang atau resah. Teruskan mengulangkaji dengan kaedah yang betul. Selain mengulangkaji pelajaran, masa yang masih lagi ada itu, haruslah digunakan dengan sebaik-baiknya untuk menyiapkan diri dari segi fizikal,emosi, mental dan rohani.

Persiapan fizikal termasuklah dengan mengambil makanan yang seimbang dan mengikut waktu makan yang betul. Hal ini dapat menjaga kesihatan dan turut memberi tenaga dan stamina kepada badan untuk terus mengulangkaji pelajaran. Aktiviti-aktiviti riadah juga tidak patut diabaikan.

Dari segi mental pula, fikirkan yang positif dan yakin pada diri. Percaya bahawa kita telah berusaha dan kita yakin untuk menghadapinya. Fokuskan diri pada apa yang diinginkan dan buang perasaan risau dan resah. Elakkan daripada memikirkan perkara negatif yang dapat terjadi.

Emosi turut juga terganggu apabila menjelang peperiksaan. Maka emosi kita turut juga perlu disiap sediakan untuk bertempur di medan peperiksaan nanti. Kawallah emosi dan cuba elakkan daripada melibatkan diri dengan konflik-konflik yang dapat menjejaskan “mood” belajar kita.

Muhasabahlah diri selalu dan fikirkan setiap kejadian ada hikmahnya. Dekatkan diri kepada-Nya dengan amalan-amalan solat-solat sunat, dan membaca Al-Quran.

Sesunggunhnya Allah mengatakan hanya dengan mengingati Allah hati akan tenang. Dari segi rohani adalah dengan memperkukuhkan lagi hubungan kita dengan Maha Pencipta.

Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Maka berhubunglah dengan-Nya dan panjatkanlah doa kepada-Nya dengan seikhlas-ikhlas hati dan serendah-rendah diri ini sebagai hambanya.
Berdoalah agar dipermudahkan urusan dunia dan akhirat.

Seelok-eloknya, sebelum mula ulangkaji, maka lakukanlah ibadat solat taubat dan hajat, pinta moga mudah memahami dan mengingati pelajaran tersebut. Selain itu, pohonlah restu dari ibubapa dan guru.

Jangan melukai hati mereka. Percayalah wahai pejuang di medan pertempuran peperiksaan, kerja yang dilakukan hari ini akan menyelamatkan kita hari esok. Tiada yang dilakukan di dunia ini sia-sia kecuali perkara yang sia-sia itu sendiri.

Maka gunalah masa yang suntuk ini dengan sebaik-baiknya. Jadilah seorang penuntut ilmu yang cekal hatinya, yang teguh pendirian dan azamnya, yang tidak mudah dipatahkan dengan cabaran yang menimpa. Jadilah seoarng penuntut ilmu yang patuh dan tunduk kepada Yang Maha Pencipta, yang mempercayai dengan sebulat keyakinan akan kekuasaan Azza Wa Jalla yang menentukan segala-galanya.

Usahlah resah dan gelisah, tetapi bangkitlah, wahai mujahidin, mujahidah. Janganlah gentar dalam berjihad menuntut ilmu dalam mencari keredhaan-Nya. Study itu jihad. Selamat berjaya dalam peperiksaan.

tarbiyyah

Jangan terperangkap! serang 'sahabat satu jemaah' lebih hebat dari serang musuh
Nazri Abdullah
Thu | Nov 05, 09 | 11:02:46 am MYT
KUALA LUMPUR, 5 Nov: Seluruh petugas PAS diingatkan jangan terperangkap dengan 'agenda musuh' sehingga mencetuskan polimik sesama sendiri dan lupa fokus paling utama untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-13.
Iklan




Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sama ada sedar mahupun tidak, PAS katanya sedikit demi sedikit telah masuk ke perangkap musuh apabila menyerang 'sahabat dalam satu jemaah' lebih hebat dari menyerang musuh sebenar.

Selain merugikan jemaah, membuang masa, tenaga dan wang ringgit, tindakan itu juga seperti menghulurkan peluru kepada musuh untuk menyerang PAS itu sendiri.

"Jangan masuk perangkap musuh yang sengaja menimbulkan perpecahan di kalangan kita. Di mana ukhuwah jamaah, sehingga kita menyerang sahabat dalam satu jamaah lebih hebat dari kita meyerang 'musuh' kita sebenar.

"Apakah sudah hilang ukhuwah jamaah, sudah hilang rasa sayang pada saudara sesama jamaah, sehingga kita sanggup memberikan peluru kepada musuh untuk menyerang sahabat kita," tulis dalam blognya http://tuanibrahim.blogspot.com.

Beliau yang juga pengerusi Lembaga Disiplin PAS berkata, Petugas PAS perlu sedar bahawa Umno sudah menukar strategi mereka setelah melihat sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat semakin meningkat sejak PRU ke-12 dan tujuh pilihanraya kecil berikutnya.

Umno kini katanya menggunakan strategi menimbulkan pergolakan dalaman parti parti dalam PR sehingga timbul pelbagai pandangan dalaman yang berbeza yang mampu menggawatkan parti masing masing.

Strategi itu katanya dilihat berjaya apabila disokong sepenuhnya media arus perdana dan media baru yang mengalihkan perhatian masyarakat dengan menumpukan kepada krisis dalaman PR.

"Kaedah mengalih perhatian diguna sepenuhnya oleh media perdana dan media baru sehingga kini dilihat berjaya.

"Pengalihan pandangan dan pemerhatian ini menyebabkan seluruh pemerhatian tertumpu kepada soal krisis yang diciptakan menyebabkan terlalu banyak masa, tenaga dan fikiran tertumpu kepada perkara yang tidak sepatutnya dihabiskan," tulisnya lagi.

Namun katanya, keadaan masih belum terlewat untuk petugas PAS kembali kepada fokus sebenar iaitu merancang straregi menang PRU ke-13.

"Jangan kita terperangkap dengan agenda musuh agar kita menghabiskan masa kepada perkara yang bukan menjadi tugas kita.

"Dengan kata lain jangan anda habis masa, tenaga dan wang ringgit memikirkan masalah yang sebenarnya bukan masalah," tegasnya.

Keadaan yang berlaku pada PAS kini turut dianalogikan dengan kisah 'enam pelabur' bercadang menternak kambing.

Biarpun projek mereka belum berjalan namun masing-masing sudah bergaduh memikirkan pembahagian keuntungan.

Sehingga salah seorang dari mereka dilaporkan berkata:

"Kita nak bahagi keuntungan, tapi di mana kambingnya. Kambing pun tak ada lagi, dah bincang untung rugi". ceritanya dipetik.

"Barulah mereka sedar rupanya mereka bincang perkara yang tak ada. Menghabiskan masa, tenaga dan memeningkan kepala saja," katanya. _

Thursday, October 1, 2009

siasah


NALISIS

Selepas debat mengenai calon yang paling sesuai berlanjutan sehingga beberapa minggu, kepimpinan Umno terpaksa akur dengan kehendak akar umbi dan keperluan untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang di Negeri Sembilan.
Iklan




Pengumuman dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, timbalan presiden Umno sebentar tadi menunjukkan kemenangan di Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang amat penting bagi Umno selepas tewas kesemua tujuh pilihan raya kecil di Semenanjung selepas Pilihan Raya Umum ke-12 Mac tahun lalu.

Usaha untuk membersihkan parti dan meletakkan calon yang bersih untuk memenangi semula sokongan rakyat terpaksa ditangguhkan dahulu.

Pencalonan Isa itu juga menunjukkan ketidakupayaan kepimpinan Umno melawan ketua-ketua Umno yang berpengaruh seperti bekas menteri besar Negeri Sembilan itu, yang membina kumpulan yang kuat sepanjang memerintah negeri kubu kuat Barisan Nasional itu.

Tindakan tidak mencalonkan Isa bakal mengundang boikot daripada ahli-ahli Umno akar umbi di negeri ini yang menyokong kuat Isa untuk kembali sebagai menteri besar akibat tidak senang dengan kepimpinan menteri besar hari ini, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Menjelang pengumuman calon, petanda buruk sekiranya Isa tidak dicalonkan mula kelihatan apabila muncul sepanduk-sepanduk memberi amaran boikot sekiranya Isa tidak dipilih sebagai calon Bagan Pinang.

Bekas pemimpin Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad bersuara berkali-kali secara terbuka menentang pencalonan Tan Sri Isa Abdul Samad, tokoh yang terpalit dengan rasuah politik dan digantung oleh parti.

Mahathir walau bagaimanapun dalam satu kenyataannya mengaku Isa mampu menang di Bagan Pinang, menunjukkan sokongan meluas untuk ketua Umno Teluk Kemang itu.

Berdasarkan tinjauan, Isa terus popular di Negeri Sembilan dalam kalangan Umno, menjadikan pencalonannya sebagai pertaruhan terbaik bagi Umno dan Barisan nasional untuk mencapai kemenangan di Bagan Pinang, walaupun terpaksa mengorbankan agenda membersihkan parti.

Isu ini, yang melalui debat yang agak panjang dan terbuka telah mendedahkan pergeseran dalaman Umno sejak beberapa minggu sebelum kempen bermula, memberi kelebihan untuk kempen pembangkang yang dijangka akan memberi fokus pada kelemahan calon parti lawan seperti dilakukan di Permatang Pasir pada Ramadhan lalu.

Pencalonan Isa bakal memberi bahan kempen kepada pembangkang, tetapi pada masa sama menjadi penyatu Umno tempatan, sesuatu yang tidak diperolehi Umno dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini seperti Kuala Terengganu dan Permatang Pasir yang menyaksikan calon Umno mendatangkan liabiliti.

Pemilihan Isa sebagai calon ini menunjukkan Umno masih sukar untuk melakukan tindakan yang betul memilih calon yang bersih sekiranya tindakan itu bertembung dengan kepentingan kuasa.

Isa yang memberi harapan kepada kempen umno di Bagan Pinang ini juga menenggelamkan lagi usaha Umno untuk memilih calon yang lebih bersih. _