Saturday, November 14, 2009

Pemimpin Di Dunia, Pemimpin Di Akhirat


Firman ALLAH yang bermaksud:
"Dan (wahai Tuhan) jadikanlah kami imam (pemimpin) kepada orang-orang yang bertakwa."
Surah Al-Furqan (25:74)

Apa yang berlaku di Perak telah mengajar kita semua umat Islam, bahawa pemilihan pemimpin perlulah kepada orang yang bertakwa. Dalam hal memilih pemimpin, Islam menetapkan garis panduannya dengan jelas. Oleh kerana Al-Quran itu adalah panduan dan peraturan, maka pemimpin yang patuh kepada kehendak Al-Quran yang memimpin ke arah ketaqwaan. Orang-orang beriman tidak wajar memilih pemimpin semata-mata kerana mereka itu ada pangkat, kekayaan dan juga kekuasaan. Dengan harta, pangkat dan kekuasaan belum pasti pemimpin itu layak dituruti kerana belum pasti mereka dapat membawa pengikutnya kepada keredhaan Allah. Orang-orang yang menjadi pemimpin biarlah orang yang tahu halal dan haram, dosa dan pahala. Tegasnya pemimpin itu mestilah mereka yang celik Al-Quran supaya bukan sahaja pemimpin itu bertaqwa, tetapi juga menjadi pemimpin kepada orang-orang yang bertaqwa.

Selain itu janganlah pula orang-orang yang beriman menjadi pengikut kepada pemimpin yang tidak menghiraukan halal dan haram, sesungguhnya sikap pemimpin yang demikian itu adalah melampaui batas-batas Allah (taghut). Janganlah di akhirat kelak orang-orang yang tergolong celik agama tetapi berada dalam barisan yang menuju kepada neraka, iaitu di bawah pimpinan manusia yang bertaraf taghut. Sesungguhnya akan diseru manusia di akhirat kelak supaya mengikut di belakang pemimpin yang mereka taati. Justeru itu janganlah sampai tersalah memilih pemimpin, kerana pemimpin itu mempunyai tanggungjawab bukan sahaja di dunia tetapi juga menjadi pemimpin di akhirat. Adakah pemimpin negara masakini menepati ciri-ciri pemimpin di dunia dan pemimpin di akhirat. Tepuk dada tanyalah iman..

No comments:

Post a Comment